Doa Ku Untuk Sahabat-Sahabat Seperjuangan

Ya Allah, sudah tentu Engkau melihat bagaimana sahabat-sahabatku bersungguh-sungguh bekerja demi memenangkan perjuangan bagi menegakkan ugama Mu, di dalam Pilihanra Raya umum yang ke 12 ini; kerana Engkau Tuhan yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui.

Ya Allah, Engkau juga tentunya dapat melihat pengorbanan yang mereka berikan.

Setiap malam mereka ke markaz, bagi menyempurnakan tugas masing-masing, tanpa mengharapkan upah dan bayaran selain dari redhaMu ya Allah. Malah, mereka juga banyak mengeluarkan harta benda mereka untuk kemenangan perjuangan ini.

Aku yakin mereka begitu ikhlas ya Allah, sehingga mereka tak peduli, malah ada juga yang tak kenal pun calon yang diletakkan oleh pimpinan parti, tetapi mereka tetap bekerja keras.

Mereka sedar mereka berdepan dengan BN yang menguasai jentera kerajaan, media, polis, SPR dan sebagainya; tetapi mereka terus berjuang dengan mengharapkan kemenangan; kerana mereka benar-benar yakin dengan janjiMu, ya Allah.

Mereka bertugas, sehingga biji mata mereka merah kerana menahan rasa mengantok. Setiap malam, mereka tidur sangat lewat dan dalam keadaan yang sangat keletihan; sedangkan esoknya mereka mesti bangun awal pagi untuk ke tempat kerja.

Walaupun sudah beberapa hari mereka keletihan, tetapi mereka masih terus ke markaz bagi meneruskan kerja-kerja yang masih banyak dan tidak pernah kurang.

Ya Allah, Engkau tentu lihat, anak-anak mereka tidur bergelimpangan di sudut markaz, sedang si ibu dan bapa sebok bermesyurat, menyusun risalah, keluar menggantung poster, berjalan dari rumah ke rumah mengedar risalah dan merayu undi, di marahi oleh pengundi-pengundi yang hanya mendengar, menonton TV dan membaca surat khabar BN, difitnah oleh musuh setiap hari.

Tidak kasihankah Engkau kepada Kami, ya Allah, melihat saban hari, musuh mengejek-ngejek terhadap kemenangan yang kami harapkan, kerana mereka akan tetap menang melalui rancangan jahat mereka itu.

Tidak kasihankah engkau kepada kami ya Allah, yang setiap hari bersabar di atas nada keangkuhan musuh-musuh kami yang tentunya juga musuh-musuh Engkau, bercakap tentang kemenangan yang bakal mereka julang, walaupun telah banyak penyelewengan dan kezaliman yang mereka lakukan; di mana, sebahagian besar rakyat sebenarnya telah menolak mereka; tetapi mereka tetap menang dengan penipuan-penipuan mereka.

Ya Allah, Engkau lihatlah betapa sahabat-sahabatku ni, terus menjalankan kerja-kerja pilihanraya, walaupun mereka tahu, musuh mereka merancang berbagai kejahatan untuk menang secara tipu di dalam pilihanraya umum yang ke 12 ini.

Ya Allah, jika sekiranya kami belum layak menerima kemenangan mutlak dan Engkau sendiri belum mahu memberikan kemenangan seperti itu kepada kami, aku merayu kepada Mu...

Berikanlah sahabat-sahabatku itu sedikit hadiah dariMu. Walaupun aku tahu permintaanku tidak layak untuk kau penuhi kerana banyaknya dosaku, kurangnya amalku dan sedikitnya perjuangan dan pengurbananku...

Tetapi aku memohon bagi pihak sahabat-sahabat ku itu ya Allah. Kasihanilah mereka. Berikanlah mereka sedikit hadiah dari kesungguhhan berjuang yang mereka telah persembahkan.

Berilah sedikit kemenangan kepada kami ya Allah. Kurniakanlah kami kemenangan sehingga dapat mengurangkan majoriti BN.

Jika tidak pun... berikanlah kami Kemenangan di beberapa buah negeri ya Allah.

Jika tidak... Berikan Terengganu kepada kami semula ya Allah...
Setidak-tidaknya ya Allah... Kekalkanlah Kerajaan Negeri Kelantan untuk Kami...

Sebagaimana Nabi Mu, Muhammad mendoakan kemenangan di dalam peperangan Badar dengan menyatakan bahawa kumpulan umat Islam yang ada itulah, hanya umat Islam yang ada untuk menyembah Engkau di atas muka bumi ini; jika mereka tumpas, tiadalah lagi yang menyembahMu.

Maka begitulah keadaan Kami, ya Allah. Kelantan adalah `kekuatan' yang engkau telah berikan kepada kami. Kelantan adalah maruah kami sebagai para pejuang yang menegakkan agamaMu ya Allah...
Kami tahu, mungkin perjuangan, jihad serta pengorbanan yang telah kami berikan; belum setimpal dengan harga kemenangan yang kami pohon...

Tetapi, bukankah Engkau Tuhan yang Maha Pemurah, ya Allah? Engkau Tuhan yang Maha Penyayang... Kasihanilah sahabat-sahabatku... Jangan dosaku membuatkan Engkau tidak mengambil kira perjuangan yang telah mereka curahkan...

Ketua Cawangan Seri Pristana...