Jutaan Wang Untuk Masjid Kristal Tetapi Pendidikan Lepas Tangan

Pembangunan Masjid Kristal yang menelan belanja lebih RM270 juta dan penganjuran Pertandingan Kapal Layar Piala Monsun menghabiskan RM300 juta setahun merupakan salah satu faktor kerajaan Umno Terengganu lepas tangan terhadap soal pendidikan rakyat serta menjadikan negeri semakin miskin. Kedudukan kemiskinan rakyat Terengganu jatuh ke paras keempat di hujung pemerintahan PAS setelah membuat perubahan polisi sebaliknya negeri itu kembali miskin iaitu tempat kedua setelah Barisan Nasional (BN) memerintah kembali pada 2004.

Kemiskinan di tempat kedua selepas Sabah, sebuah negeri yang mempunyai pendapatan kedua tertinggi dalam negara. Kenapa negeri yang mempunyai pendapatan kedua tertinggi ini rakyatnya miskin? Semasa pemerintahan PAS wang royalti minyak ditarik balik oleh kerajaan Pusat tetapi masih mampu mengubah paras kemiskinan kedua tertinggi semasa awal pemerintahan itu 17.3 peratus, jatuh ke tangga keempat.

Kadar itu turun kepada 14 peratus pada tahun 2001 sehingga ia berada di tahap negeri ketiga termiskin seluruh negara. Pada tahun 2004 kadar itu turun lagi kepada 10 peratus sehingga Terengganu berada di tangga ke empat. Bagaimanapun setelah dua tahun BN memerintah semula negeri itu, kadar kemiskinan rakyat Terengganu melonjak kembali ketempat asal kepada 15.4 peratus.

Dengan jumlah isi rumah miskin tegar seramai 8,300, Terengganu kembali menduduki tangga kedua senarai negeri paling tinggi kadar kemiskinan rakyatnya iaitu selepas Sabah. Perangkaan terakhir itu diperolehi daripada laporan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Oktober 2006. Dalam masa sama kos sara hidup di Terengganu adalah yang kedua tertinggi di negara ini seperti kata Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dato' Adzlan Mohd. Dagang.

Dengan dua tekanan dan bebanan tersebut tidak hairanlah kes jenayah di Terengganu turut meningkat kepada 6.2 peratus atau 119 kes dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun 2007 berbanding tahun sebelum itu sebagaimana didedahkan Ketua Polis Terengganu, Datuk Md Lazim Ahmad.

Kegilaan menonjolkan kemewahan dan menghabiskan wang berbilion ringgit semata-mata untuk projek tersebut juga antara jalan mudah dan cepat melahirkan seorang dua jutawan. Sebaliknya dalam soal pendidikan kerajaan BN Terengganu lepas tengan. Kolej Sultan Zainal Abidin (Kuza) yang menjadi kebanggaan kepada rakyat dan kerajaan negeri sebaliknya diserah kepada kerajaan Pusat.

Sekolah bersepadu seumpama sekolah integrasi di Selangor yang menggabungkan pendidikan agama dan akademik diwujudkan semasa kerajaan PAS memerintah sebaliknya ditutup kerana alasan tidak berkemampuan. Bagi menonjolkan Islam kepada sebuah negeri Hadhari untuk lawan apa yang PAS lakukan maka pelajar tadika disalahgunakan. Seramai 2010 pelajar yang baru mengenal huruf al-Quran dikatakan khatam al-Quran dan dibuat majlis besar-besaran.

Ini merupakan penipuan secara terangan serta mempermainkan istilah bagi sebuah negeri Islam Hadhari. Matlamatnya bukan melahirkan masyarakat berilmu sebaliknya mahu mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records. Seperti kata calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bandar, Dr Abdul Manaf Che Mat, program tersebut satu penipuan untuk menunjukkan kejayaan negeri Hadhari. "Anak saudara saya yang serta program ini baru kenal iqra tiga macam boleh dakwa mereka sudah khatam al-Quran," ujarnya dalam satu ceramah di Kampung Kuala Hiliran, Kuala Terengganu.