ISU : PAS Menggadaikan Negara Islam dan beralih ke Negara Kebajikan ?

Ramai kawan-kawan UMNO mengatakan PAS telah menggadaikan prinsip perjuangan kerana beralih memperjuangkan Negara Kebajikan. Mereka juga menuduh PAS telah mengenepikan perjuangan menegakkan Negara Islam dan melaksanakan Hukum Hudud. Sukalah dijelaskan bahawa matlamat PAS untuk menegakkan negara Islam telah tercatat dalam Perlembagaan PAS sejak tahun1951 lagi dan sehingga kini matlamat tersebut masih bertulis, tidak akan diketepikan sehingga bila-bila. Dalam Perlembagaan PAS antara lain menyebut; "Matlamat PAS ialah memperjuangkan bagi mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan ALLAH". Kandungan perlembagaan tersebut secara jelas menetapkan matlamat PAS termasuk dalamnya menegakkan Negara Islam dan Hukum-hukum Allah.

Manakala Negara Kebajikan adalah salah satu sifat negara dan pemerintahan yang disebut oleh Allah swt di dalam Al-Quran seperti mana doa Nabi Ibrahim dalam Surah al-Baqarah ayat 126 dan Surah Quraysh ayat 3-4. Oleh sebab itu, Negara Kebajikan adalah salah satu daripada sifat-sifat Negara Islam yang ditampilkan oleh PAS dalam Pilihanraya kali ini. Dengan mengemukakan salah satu sifat Negara Islam tersebut pada peringkat ini, merupakan satu pendekatan dakwah yang berhikmah untuk menuju kepada matlamat PAS yang tercatat secara bertulis dalam perlembagaan parti. Dalam konteks sains politik moden, konsep Negara Kebajikan atau Welfare State lah yang paling hampir kepada Negara Islam berbanding sistem-sistem pemerintahan Liberalisme dan Sosialisme.

Diharap penjelasan ini dapat memberi manafaat kepada kita semua, cuma kita nak tanya pulak Manifesto BN yang bertemakan ‘Selamat, Aman dan Makmur’ yang dilancarkan semalam ni berteraskan apa yer ?