Hasil Masyur Selangor Akan Ditadbir Dengan Baik Jika BA Memerintah

SHAH ALAM, 23 Feb - "Hari Khamis baru dinyatakan perlu dimatikan setem. Maknanya 'setem-setem yang hidup itu perlu dimatikan'. Habis sahaja 'setem-setem tersebut mati', pagi tadi datang pula perintah pastinya 'wahyu' daripada' orang nombor satu dunia'. "Perintahnya 'setem yang mati' itu 'is not good enough'. Dia kata hendakkan setem hasil pula sedangkan esok pejabat tutup untuk kita berurusan mengenai perkara tersebut."

Demikian kata-kata sinis yang diutarakan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Ali mengenai peraturan baru yang ditetapkan SPR yang menghendaki borang pencalonan mendapat pengesahan duti setem. Kata-kata beliau itu disambut dengan tepukan lebih 5,000 penyokong PAS yang membanjiri padang permainan Seksyen 7, Shah Alam, malam tadi, sempena majlis perisytiharan calon PAS Selangor.

Tambah Hasan, tindakan SPR itu seolah-olah untuk memberi peluang kepada parti kerajaan meperoleh kemenangan dengan selesa dengan peraturan baru yang ditetapkan. Dalam pada itu dalam ucapannya juga Hassan menyeru seluruh rakyat tanpa mengira kaum, sekiranya PAS menerajui negara dan seandainya beliau berada dalam kepimpinan Selangor, beliau akan tentukan sama ada exco atau Menteri Besar menjalani kehidupan seperti Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Bekas Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

"Lihatlah di sebelah kiri kita ini, rumah-rumah exco yang tersergam indah. Berbeza dengan rumah Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato' Seri Abdul Hadi Awang. "Dan sekiranya kita menerajui Selangor kita akan menjual rumah-rumah exco ini dan mungkin akan dijadikan asrama rakyat," katanya, yang disambut ketawa dan tepukan orang ramai.

Pada masa sama turut ditampilkan tayangan slaid perbezaan antara kediaman kedua-dua pimpinan PAS itu dengan kediaman Exco negeri Selangor. Hassan turut mengharapkan sekiranya PAS menerajui Selangor, segala hasil masyhur Selangor dapat ditabdir dan diurus dengan baik. Dalam ucapannya juga Hasan mengulangi beberapa tawaran PAS yang terkandung dalam manifesto BA Selangor.

"Dengan hasrat dan kesucian apa yang ingin kita laksanakan di Selangor ini bersama dengan teman-teman KeADILan dan DAP, jika diizinkan Allah kita akan dipilih untuk mentadbir negeri ini. "Biarlah hati kita tertulis untuk mengingati keagungan Allah. Atas dasar prinsip ini PAS telah mendeklamasikan satu bentuk kepimpinan ulama," katanya yang turut bertanding di Dun Gombak Setia.

Terdahulu dalam majlis tersebut, Hasan dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Osman Sabran menyampaikan watikah calon kepada 27 calon PAS Selangor yang akan bertanding dalam pilihan raya umum ke 12. Dalam majlis tersebut calon-calon juga membaca ikrar akan melaksanakan tugas dengan baik sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.