Calon BN Parlimen P96 Kuala Selangor Kena Tampar

Perjalanan kempen calon Parlimen P96 Kuala Selangor, Jahaya Ibrahim, menerima tamparan hebat apabila mendapat tentangan dari kalangan saudara-mara dan orang-orang kampungnya sendiri. Jahaya yang berasal dari Kampung Kuantan di sini, telah lama mengidamkan peluang menjadi wakil rakyat. Sejak dulu, seawal semasa Tan Sri Muhammad Muhd Taib menjadi Menteri Besar Selangor, dia melobi tetapi tidak diterima oleh pucuk pimpinan UMNO Bahagian Kuala Selangor.

Hakikatnya, dia tidak popular di kalangan ahli UMNO Bahagian Kuala Selangor sendiri. Bahkan, dia mempunyai musuh politik dalam UMNO di kampungnya sendiri. Perkara ini jelas apabila di sekitar kampungnya itu terdapat cawangan-cawangan UMNO yang ditubuhkan untuk menyaingi cawangan-cawangan sedia ada yang menyokongnya (Jahaya), dengan penambahan ‘Sri’ sahaja di hadapan nama-nama cawangan sedia ada itu. Hubungannya dengan salah seorang sepupunya (yang juga ahli UMNO) di Kampung Kuantan itu juga dikhabarkan dingin sejak sekian lama.

Pemilihan Jahaya sebagai calon untuk Parlimen P96 Kuala Selangor adalah jelas hanya kerana ketandusan calon yang lebih sesuai, akibat daripada pergolakan dalaman UMNO Selangor sendiri. Contohnya, pada 14 November 2007, Ahli Parlimen Kuala Selangor pada masa itu (Mohd Daud Tarihep) secara terbuka mengkritik Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamad Khir Toyo kerana memberi ‘Anugerah Penyapu’ kepada pihak berkuasa tempatan ( PBT ) yang gagal membaiki prestasi mereka. [ Sila rujuk http://www.malaysiakini.com/news/74795 ].

Jelas, kegawatan dalam UMNO Selangor tersangat parah. Ura-ura sesetengah pihak dalam UMNO untuk meletakkan Tan Seri Muhamad sebagai calon di Parlimen Kuala Selangor (kononnya untuk meredakan ketegangan dalam UMNO Kuala Selangor), seperti yang dilaporkan oleh Elan Perumal dalam akhbar The Star pada 20 Februari 2008 [ Rujuk: http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/2/20/central/20379307 &sec=central] dan oleh Roslan Bian di dalam blog ‘duniatiger’ pada 18 Februari 2008 [rujuk: http://duniatiger.blogspot.com/2008/02/mike-tyson-tanding-di-kuala-selangor.html ], akhirnya juga tidak dapat menjadi kenyataan.

Dato’ Seri Mohamad Khir tidak boleh memasukkan nama Daud Tarihep sebagai calon kerana berlainan kem dengannya. Tan Seri Muhamad pula tidak dimasukkan kerana bimbang membayangi kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor. Tiada langsung nama ‘besar’ lain yang boleh diketengahkan. Ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berada di Parlimen Kuala Selangor – Mohamed Sayuti Said di DUN Bukit Melawati, K. Parthiban di Ijok dan Amiruddin Sutero di Jeram - juga tak boleh ‘dipakai’.

Maka, nama Jahaya Ibrahim terpaksa dimasukkan. Namun, masalah UMNO Kuala Selangor belum selesai! Jahaya tiada sokongan padu dari kalangan ahli UMNO sendiri. Jahaya hanya dikelililing oleh beberapa ‘kerat’ orang UMNO yang bekerja dengannya atau mendapat faedah daripada perniagaannya. Orang-orang ini adalah kalangan mereka yang tidak ada agenda perjuangan, hanya bekerja untuk mengisi perut sendiri, jauh sekali daripada kepentingan agama, masyarakat, bangsa mahupun negara. ( Apalah yang boleh diharapkan pada orang-orang yang tidak berfikir dan tidak mahu berfikir ini? Mata hati mereka telah buta, sehingga tidak dapat melihat segala kepincangan yang ada di sekeliling mereka! )

Lebih parah lagi, Jahaya tidak mendapat sokongan daripada kalangan saudara-maranya, malah adik-beradiknya sendiri. Dalam kempen Pilihanraya ke-12 ini, terdapat beberapa orang saudara-maranya berkempen untuk calon PAS dan PKR, samada di Kampung Kuantan (kampung Jahaya sendiri) mahupun di tempat lain. Salah seorang daripada mereka berkata, “Saya berkempen menentang Jahaya bukan kerana bermusuh dengannya. Hubungan saya dengannya selama ini baik, termasuk semasa bersama-sama menganjurkan Perhimpunan Keluarga Besar pada Hari Raya Puasa yang lepas. Tiada masalah langsung! Saya cuma nak mengusahakan agar sekurang-kurangnya salah satu daripada perkara berikut berlaku.” ( sambil menghulurkan kertas yang dipegangnya, yang tertera tulisan tangan ):

1. Bantu pihak yang dizalimi ( rakyat ) daripada terus dizalimi, dengan cara memenangkan Barisan Alternatif ( terutamanya PAS dan PKR ) yang jelas membawa agenda pembangunan seimbang dan mengutamakan kebajikan rakyat, adil, amanah dan bersih.

2. Bantu pihak yang menzalimi ( UMNO dan BN ) daripada terus menzalimi, dengan cara menghalang mereka daripada membentuk kerajaan bermajoriti besar ( lebih 2/3 ) agar mereka tidak dapat meneruskan penyelewengan, penipuan dan penindasan terhadap rakyat.

Sambungnya lagi, “Saya nak bantu Jahaya dan kawan-kawan lain dalam UMNO dan BN supaya berhenti daripada berlaku zalim. Saya juga nak bantu kawan-kawan rakyat biasa supaya tidak terus tertipu dan ketinggalan sedangkan ada pihak lain yang mengambil kesempatan dan mengumpul kekayaan untuk peribadi diri sendiri dan keluarga.”

Posted on Thursday, February 28 @ 23:34:51 EST by reformis
Oleh Warga Kuala Selangor, dipetik dari http://www.detikdaily.net