Keutamaan Bermunajat Di dalam Perjuangan

Oleh Aba Muiz

Solat hajat adalah suatu senjata yang amat isitimewa bagi kita yang mendokong perjuangan kebebasan dan keadilan yang berteraskan Islam. Kalau kita boleh menghimpunkan puluhan ribu rakyat untuk keluar ke jalan-jalan raya bagi mengadukan hal kepada pihak seperti SUHAKAM atau Yang dipertuan Agong; maka kenapa kita tidak boleh menghimpunkan puluhan ribu umat Islam untuk mengadakan solat hajat, bagi mengadukan hal kita kepada tempat yang sebaik-baiknya untuk kita mengadu?

Permintaan kita misalnya, yang menolak perkhidmatan Tan Sri Rasyid dilanjutkan sebagai pengerusi SPR, nampaknya telah ditolak mentah-mentah oleh pihak yang sepatutnya. Pada hal, apa yang berlaku sangat terang. Berilah apa-apa alasan sekali pun, semua sebenarnya akan menerima bahawa tujuan sebenarnya untuk melajutkan umur jawatan pengerusi SPR yang baru lalu, adalah semata-mata untuk memberikan laluan kepada Tan Sri Rasyid.

Kenapa mahu sangat memastikan Tan Sri Rasyid terus memgang jawatan yang berkenaan? There must be something!

Kita tentu dapat menjangkakan apa yang akan berlaku di dalam pilihan raya nanti dengan senario yang ada di atas, walau pun kita tidak akan dapat lihat dengan jelas.

Adakah kita patut memboikot pilihanraya sebagai yang dicabar oleh Tan Sri Rasyid sendiri?

Ya tak ye juga, buat apa bertanding jika kita sudah dapat menjangka bahawa kita akan kalah oleh penipuan yang akan dimainkan nanti?

Mereka yang ada kuasa, yang boleh menyusun perancangan untuk memastikan kemenangan mereka; sebenarnya hanya boleh menjangka kemenangan mereka, bukannya memastikan kemenangan mereka. Tiada sesiapa boleh memberikan kepastian kecuali Allah.

UMNO dan BN, hanya boleh `menjangka’ kemenangan mereka di dalam pilihanraya, dengan penipuan dan tetik kotor yang mereka telah gunakan selama ini atau tektik-tektik baru yang sedang dirangkakan. Tetapi, apa yang sangat pasti, mereka tidak dapat me`masti’kannya.

Inilah kekuatan kita! Keyakinan kita kepada kuasa dan pertolongan Allah subhanahu wa ta’ala, disamping usaha yang bersungguh dan berterusan dari kita.

Mereka ada Tan Sri Rasyid. Kita ada Allah! Kita boleh mengangkat tangan dengan hati yang penuh tawadhu’ memohon: “Ya Allah, kami (yang sudah tiada daya dan upaya ini) ingin meletakkan `ENGKAU’ di batang leher pengerusi SPR. Ya Allah, selerakkanlah kekuatan-kekuatan yang terkumpul di sisi mereka. Pecahkanlah konspirasi mereka. Rosakkan perkataan mereka. Goncanglah tempat mereka berdiri. Wahai Tuhan yang perkasa. Wahai Tuhan yang gagah. Wahai Tuhan yang menuntut bela. Wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. Wahai Tuhan yang menurunkan al-Kitab dan Tuhan yang menggerakkan awan. Binasakanlah mereka (sebagaimana Engkau pernah membinasanakn Barisan Nasional di Mekah, dulunya); serta tolonglah kami dalam berhadapan dengan kezaliman dan penipuan mereka.

Kita perlu benar-benar yakin dengan janji Allah, sebagaimana selalu disebutkan: “Mereka merancang, Allah juga merancang dan akan tetapi, perancangan Allahlah yang terlebih baik”.

Di sini, kita ada kelebihan dan mereka ada kekurangan. Kelebihan kita adalah kita tahu bahawa pengerusi SPR adalah di antara perancangan mereka. Kekurangan mereka adalah mereka tidak tahu apakah dia perancangan Allah itu. Mereka mungkin boleh menjangka kekuatan kita. Mereka mungkin boleh menjangka apa yang kita akan lakukan dari sudut ikhtiar dan kemampuan kita. Tetapi, mereka tidak tahu apakah strategi dan bentuk perancangan Allah subhanahu wa ta’la di dalam menolong memenangkan perjuangan yang ingin mendaulatkan ugamanya apabila masanya telah tiba.

Baca Seterusnya ...

Memantap Kedudukan Dalam PR

Memantapkan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat

Banyak isu semasa yang diulas Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam pertemuan dengan Harakah, tengah hari 8 Julai lalu, di Parlimen. Beliau menyentuh dakwaan hubungan PAS-Umno, kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat, tuduhan liwat terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim, cadangan muzakarah di antara pimpinan utama politik Melayu serta muktamar tahunan PAS di Perak, Ogos nanti. Ikuti wawancara beliau bersama wakil Harakah MOHD RASHIDI HASSAN, Wan NoRDIN WAN YAACOB, AZAMIN AMIN, SAADON AKSAH dan jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH.

HARAKAH: Apa penjelasan Tuan Guru mengenai dakwaan PAS ada perbincangan dengan Umno yang disensasikan media baru-baru ini?

USTAZ HADI: PAS adalah parti yang menegakkan Islam dengan makna yang menyeluruh. Sasaran Islam ialah seluruh manusia bukan sahaja tertumpu kepada ahli PAS. Kita harus sampaikan mesej kepada pihak yang lain, sebagaimana yang diajar Nabi Muhammad.

Bukan sahaja bergerak dalam skop di Semenanjung Tanah Arab bahkan Baginda menghantar surat kepada raja-raja. PAS juga wajib meneruskan mesej itu dalam konteks negara kita. Kita jumpa dengan raja-raja dan tidak salah juga kita berjumpa dengan Umno untuk menyampaikan mesej kita. Kalau tidak jumpa dengan Umno macam mana nak sampaikan mesej kita?

Maknanya benarlah dakwaan adanya pertemuan tersebut?

Pertemuan antara individu PAS dengan individu Umno dalam menyampaikan mesej Islam kepada mereka.

Hasil pertemuan dan rumusan PAS?

Kita beri penekanan kepada kepentingan Islam supaya Umno berubah. Iaitu merujuk kembali kepada kesilapan yang mereka lakukan yang merugikan umat dan agama Islam itu sendiri. Sebagai contoh, dalam masalah pilihan raya. Yang dikira oleh Umno hanya untuk menangkan parti dia, bukan untuk memenangkan Islam. Dalam pilihan raya ke-12 pun Umno tidak kalah, yang kalah MCA, MIC.

Mereka membuat pembahagian kawasan pilihan raya berdasarkan kepada kepentingan mereka. Penambahan kawasan baru itu dilakukan di Sabah, Sarawak dan Johor. Mengapa tidak ditambah kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu dan Kedah?

Ini kerana mereka hendak menjaga kerusi mereka dan bukan kepentingan Islam. Dalam masa yang sama mereka membahagikan kerusi ataupun kawasan pilihan raya yang majoriti Islam kepada wakil rakyat yang bukan Islam. Ini tidak wajar.

Cuba lihat dalam Pakatan Rakyat, DAP menang di kawasan majoriti kaum Cina, tetapi MCA dan MIC menang di kawasan majoriti Melayu yang diberi oleh Umno. Ini dengan sendiri boleh menghakiskan kedudukan orang Islam dari segi politik.

Tetapi bukankah PAS mahu perpaduan yang lebih meluas?

Sekarang ini kita menunggu apa respons daripada Umno dan rakyat. Dan saya pernah berucap dalam perhimpunan di Stadium Melawati, Shah Alam (di awal penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor). Saya tidak tahu mereka sedar atau tidak, tetapi saya sebut soal perpaduan nasional di kalangan parti politik yang perlu dibincangkan lebih serius dan bukan separuh jalan.

Perpaduan ini tidak semestinya kita paksa semua parti masuk BN atau gabung satu parti. Ini termasuklah wujudkan demokrasi tulen sebagaimana negara yang sihat demokrasinya.

Sebagai contoh bukan sahaja pembangkang boleh bangkang tetapi yang mewakili kerajaan juga boleh bangkang. Dalam negara kita, kalau wakil rakyat kerajaan yang bangkang ini akan diambil tindakan disiplin. Bahkan di Barat parti kerajaan boleh sokong undi tidak percaya, yang dibuat oleh pembangkang. Adakah di Malaysia hal ini berlaku? Tidak berlaku.

Tuan Guru fikir Umno boleh terima pandangan PAS?

Kepada PAS, orang Melayu mesti menjadi teras kepada politik negara. Ini diterima oleh semua kaum. Bukan pula bermakna hanya orang Melayu yang berhak dalam politik dan kekuasaan tetapi teras politik kita berpihak kepada orang Melayu sebab melihat kepada jumlah penduduk Islam yang majoriti dalam negara ini. Ini perlu diambil kira. Tapi malangnya Melayu sendiri hanyut dalam merealisasikan Islam itu sendiri sebagai kekuatan orang Melayu.

Sebagai contoh kita tidak sedar Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan. Agama lain berhak dianut dan diamalkan tetapi di sana ada peruntukan Jadual 9 yang menyekat pelaksanaan Islam setelah diserah Islam itu di bawah kuasa negeri. Tetapi ada peruntukan yang menghalang pelaksana syariat Islam dalam makna yang menyeluruh.

Walaupun dalam mazhab Islam ada ulama yang sebut syariat Islam itu boleh dilaksanakan kepada orang Islam dan bukan Islam berhak diberi pilihan. Dalam beberapa perkara tertentu boleh kita bahagikan perundangan sebagai contoh kepada tiga bahagian. Yang pertama perkara yang diberi kepada penganut agama masing-masing dalam masalah ibadat undang-undang keluarga dan perkahwinan itu agama masing-masing.

Dan di sana ada syariat Islam seperti Hudud, Qisas dan Takzir, yang diwajibkan Tuhan dalam al-Quran di mana undang-undang ini wajib bagi Islam. Adapun orang bukan Islam boleh diberi pilihan sama ada nak undang-undang ini atau tidak. Dan di sana ada hukum yang bersama seperti undang-undang jalan raya serta hak milik tanah pertanian dan kediaman tidak ada beza.

Sepatutnya kita perkenalkan keadilan Islam ini kepada masyarakat di saat kita lihat kegagalan sistem yang lain daripada Islam.

Mengenai perpaduan berteraskan Islam dan politik Malaysia, Melayu jadi tunggak. Bagaimana ini hendak diterjemah dalam Pakatan Rakyat. Adakah DAP boleh menerimanya?

Sehingga hari ini kita hanyalah wujudkan persefahaman dalam menghadapi pilihan raya sahaja dengan melihat titik persamaan yang ada, seperti dalam menentang kezaliman, menuntut demokrasi yang bersih, menyeru supaya diperbetulkan penyelewengan yang berlaku, tangani rasuah. Ini perkara bersama. Tetapi bila kita ada kuasa di peringkat negeri, sebagai contoh, di sini kita lihat pembahagian yang saya sebut tadi.

Dalam perkara yang jadi hak orang Islam, DAP tidak boleh sentuh itu hak orang Islam. Macam kita tidak sentuh hal agama mereka. Mereka janganlah sentuh soal hendak memperlahankan suara azan kita, seperti kita tidak minta dia jangan main mercun masa sambutan malam tahun baru, mereka kena saling hormatilah. Itu menandakan di sana ada beberapa perkara yang perlu dipertahankan dan hormat menghormati.

Apa pandangan Tuan Guru mengenai rundingan yang berlaku antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan kelompok yang hendak menyertai Pakatan Rakyat?

Bukan dia (Anwar) sahaja, kita pun berhak untuk mengadakan perundingan. Sama juga DAP. Mereka ada hak buat perundingan. Kalau Keadilan sahaja boleh jumpa Umno, PAS tidak boleh jumpa dengan Umno macam mana? Ini yang tidak betulnya.

Adakah ini salah faham (mengenai hubungan PAS-Umno)?

Orang lain boleh jumpa Umno, kenapa PAS tidak boleh jumpa Umno? Itu tidak faham namanya. Atas dasar Islam kita berhak. PAS boleh berunding dengan mana-mana pihak. Tidak ada sesiapa yang jadi Ketua Pakatan Rakyat. Pimpinan secara kolektif dan kita setuju masing-masing pemimpin parti mencari pengaruh mengajak rakan dalam BN supaya bersama dengan kita. Oleh sebab itu, tidak timbul isu mengapa orang PAS jumpa Umno.

Itu politik kampung sahaja yang tidak boleh (melarang) jumpa dengan Umno dan orang PAS. Kita dah uar-uarkan 'engagement' yang disebut dalam muktamar kita, ini keterbukaan kita.

Penerimaan ahli PAS mengenai 'engagement' seperti ini macam mana?

Saya lihat inilah yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam pilihan raya umum ke-12 yang telah memberi kemenangan kepada PAS. Dan orang PAS boleh buat kerja untuk memenangkan Pakatan Rakyat. Perlu disedari bahawa PAS yang paling banyak cawangan. PAS yang paling banyak pekerja dalam pilihan raya ke-12. Orang PAS sedia bekerja bagi pihak parti lain. Jadi, selepas capai kemenangan perlu diambil kira peranan orang-orang PAS ini. Sebab orang PAS bukan bodoh! Jangan ketepikan peranan mereka selepas kita menang pilihan raya.

Mungkin PAS mahu dilihat sebagai entiti penting dalam Pakatan Rakyat?

Ya, bahkan undi popular perlu dilihat kepada undi menyeluruh. PAS beri penekanan kepada kerusi negeri. Negeri kita dapat 83 kerusi, DAP 73 dan Keadilan dapat 40. Ini perlu dilihat bukan lihat kepada Parlimen sahaja. Kawasan Parlimen ini didukung oleh kerusi negeri.

Dakwaan liwat terhadap Dato' Seri Anwar. Adakah ia mengganggu Pakatan Rakyat atau PAS?

Saya tidak mahu kerja-kerja politik diganggu oleh isu-isu berkait dengan masalah individu. Masalah individu diselesaikan secara masalahnya sendiri. Oleh kerana itu saya lebih bersetuju supaya masalah itu diselesaikan di mahkamah yang adil. Kalau Mahkamah Sivil tidak boleh selesai, mestilah dibawa ke Mahkamah Syariah. Yang cara bersumpah (mubahalah) ini, (perlu) sekiranya tidak ada mahkamah.

Maknanya ia perlu selesai di mahkamah?

Ya! Ya! Selesaikan di mahkamah ....

Isu Anwar, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, Altantuya dan macam-macam berlaku, telah mencetuskan kecelaruan politik sekarang. Apakah pandangan Tuan Guru?

Malangnya yang memainkan isu ini adalah media. Media Melayu pula. Melibatkan pemimpin-pemimpin Melayu. Adakah mereka tidak malu mengemukakan isu-isu ini (pendedahan hal peribadi yang mengaibkan), sedangkan kita menghadapi masalah kenaikan harga minyak, masalah inflasi yang lebih penting.

Bagaimana hendak menangani masalah rasuah, masalah jenayah. Kes bunuh Altantuya adakah berbeza dengan kes bunuh Pak Long, Mak Ngah, Ah Chong di kampung yang dibunuh? ... sama sahaja. Sepatutnya ialah soal keadilan itu untuk semua sebagaimana slogan dalam pilihan raya.

Mengapa pembunuhan Altantuya ini dibesarkan, sedangkan pembunuhan di kaki lima dibiarkan? Yang penting penyiasatan yang adil kepada semua itu perlu. Dalam isu ini barangkali ada kepentingan politik sama ada tuduhan membabitkan Anwar ataupun Najib? Yang pertama sikap orang yang jadi pemimpin itu sendiri dan yang kedua sikap media itu sendiri. Mesti berpada-pada bukannya 'loose'. Itu yang penting.

Ada pandangan menyatakan perlunya pimpinan Melayu seperti Anwar, Tuan Guru sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi duduk bincang soal Islam dan Melayu?

PAS sudah lama mendesak muzakarah diadakan di kalangan pemimpin Islam dan parti-parti orang Melayu sejak tahun 50-an hingga kini. Keadaan itu masih terbuka. Bahkan sebaik sahaja buka pintu muzakarah, PAS (akan) sertai. Kalau dibuka itu respons kita. Tetapi asas muzakarah itu mestilah didasarkan kepada asas akidah dan ajaran yang dianuti oleh orang Melayu itu sendiri iaitu Islam.

Berbalik kepada isu Anwar, mahu atau tidak isu membabitkan beliau perlu dihadapi dan diterima dan implikasinya kepada PAS juga yang sertai Pakatan Rakyat. Apa pandangan Tuan Guru?

PAS ada pengaruh dan kedudukannya sendiri. PAS simpati dengan rakan Pakatan Rakyat yang terima padah dari fitnah ini dan kita sama-sama ambil tanggungjawab untuk mengatasinya sebaik mungkin. Tetapi PAS tetap utuh dengan sebagai parti yang ada akar umbi yang sudah lama dan bertapak begitu kuat. Dan saya rasakan bahawa apa yang ditumpukan oleh orang PAS ialah untuk menegakkan Islam itu dengan makna yang menyeluruh.

Apabila banyak fitnah, adakah ini petanda sudah tiba masanya Malaysia menggunakan lebih banyak undang-undang Syariah supaya wujud keadilan dalam negara?

Saya bersetuju! Islam pun perlu diberi peluang untuk dilaksanakan dan bermula dengan orang Islam sendiri sebagaimana yang kita luluskan di Kelantan dan Terengganu semasa PAS memerintah. Di mana undang-undang Syariah itu dimulakan dengan orang Islam. Sementara orang bukan Islam diberi pilihan sama ada mereka mahu undang-undang Islam atau tidak tetapi dalam kes peribadi dan agama kita tidak campur. Itu sudah jelas.

Harapan Tuan Guru mengenai muktamar tahunan PAS yang akan berlangsung Ogos ini?

Muktamar kali ini ialah muktamar pascapilihan raya. Satu anjakan paradigma berlaku dalam politik negara secara umum termasuk orang PAS sendiri. Kita berjaya pecahkan tembok perkauman antara kaum dan pelbagai agama. PAS berjaya tubuhkan Kelab Penyokong PAS yang disertai oleh bukan Islam yang menyatakan sokongan kepada PAS secara terbuka. Mereka kerja secara sukarela kepada PAS. Mereka memenangkan calon PAS di peti-peti undi sebagai tambahan kepada kekuatan PAS yang sudah ada.

Yang kedua, perubahan di kawasan bandar yang dapat maklumat moden melalui perkembangan ICT. Di sini menunjukkan betapa rakyat perlu dapat maklumat bebas dan terkini yang menyaksikan PAS dapat sokongan di bandar dan pinggir bandar.

Ketiga, walaupun PAS tidak mendapat kerusi Parlimen sebanyak kerusi pada tahun 1999, namun kali ini berlaku satu perubahan. PAS dikatakan menjadi 'king maker' kepada politik negara. Dalam penyertaannya melalui kerajaan campuran di negeri yang tidak dikuasai sepenuhnya seperti di Kedah.

Dalam keadaan PAS adakan campuran dengan parti lain di Perak, rakan Pakatan Rakyat memberi kepercayaan kepada PAS memimpin dua buah negeri Kedah dan Perak selain yang telah ada Kelantan. Satu negeri kepada Keadilan di Selangor dan satu negeri kepada DAP di Pulau Pinang.

Jadi ini menunjukkan kepercayaan yang diberi Pakatan Rakyat untuk memimpin negeri. Dan kita hargai kepercayaan ini. Apa yang penting PAS mesti laksanakan slogan semasa pilihan raya iaitu 'Islam For All'. Itu mesti direalisasikan. Sebab itu kita harapkan NGO dan parti bukan Islam jangan risau dengan pelaksanaan ini. Kita harap apa yang disebut sebagai 'Islamophobia' tidak berlaku kepada rakyat Malaysia.

Kita dah ada model di Kelantan. Kini masuk penggal kelima, dan di Terengganu satu penggal. Tidak ada sebab mereka risau jika kita realisasikan slogan tadi. Kepada ahli PAS, teruskan bekerja bukan sahaja untuk pilihan raya ke-12, dalam masa yang sama kerja selepas PRU-12 untuk isi kemenangan.

Kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat kita harapkan supaya jentera PAS jangan digunakan untuk menjayakan pilihan raya ke-12 sahaja, sebaliknya selepas pilihan raya itu seolah-olah mereka tidak ada peranan lagi.

Harakahdaily
Fri | Jul 11, 08 | 12:40:09 pm MYT

Baca Seterusnya ...

Pendekatan Siasah Syari’yyah di Malaysia Khasnya di Negeri Pakatan Rakyat

Oleh : Syeikh Nasrudin Hj Hassan ath Thanthawi

Pelbagai pihak kelihatan masih keliru dan curiga terhadap Pendekatan Siasah Syari’yyah yang dicadangkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat untuk dilaksanakan di Negara ini , khasnya di negeri – negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat . Lebih malang apabila ia ditempelak dan dibahas tanpa ilmu sebaliknya penuh curiga dan berniat tidak baik terhadapnya.

Saya melihat fenomena ini berurutan dari sindrom Islamphobia yang dialami oleh masyarakat hari ini dan biasnya turut dirasai oleh sebahagian muslim yang bersyahadah . Semakin hari ruang kecurigaan terhadap Islam dan perlaksanaannya semakin lebar , sementara para ulama yang diharapkan untuk mempertahankan kesucian Islam , sebahagiannya lebih memberi tumpuan terhadap isu – isu khilafiah atau persoalan tengek bengek yang sering menimbul ketegangan dan keresahan dikalangan ummah tanpa mendidik mereka dengan ilmu yang jelas dan mencukupi.

Terdapat jua sebahagian pemimpin ummat Islam yang hanya menumpu kepada strategi untuk mengekalkan survival politik mereka dengan tidak memberikan perhatian terhadap strategi bagaimana Islam dapat dipraktiskan malah dihayati secara benar dan jujur sehingga tersingkap segala kecurigaan mahupun salah faham terhadapnya.
Banyak pihak perlu mengambil tanggungjawab dengan tercetusnya fenomena ini .

Pertama :
kepada golongan Islam agar tidak prejudis terhadap agama anutan sendiri . Jua tidak melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan salah tanggap terhadap agama suci ini. Elakkan diri dari terjebak dalam kancah maksiat dan aktiviti yang tidak bermoral dengan membawa palit lumpur lalu mencemarkan kesucian Islam ini.
Pemegang urusan politik ummat Islam pula jangan dilihat hanya mementingkan karier politik mengatasi kecintaan terhadap agama. Membiar Islam dibelasah saban waktu asal cita – cita politik tercapai adalah sikap yang tidak wajar justeru politik ummat Islam tidak seharusnya gelincir dari landasan Islam itu sendiri.

Kedua :
Kepada golongan non muslim yang pastinya tidak memahami secara mendalam bagaimana Islam sebagai cara hidup mestilah terlebih dahulu mendapat pandangan atau maklumat jelas dari para ulama’ Islam sebelum membuat sebarang kenyataan atau dakwaan , apatah lagi berupa kritikan terhadap Islam.
Janganlah membuat kesimpulan mengenai Islam berasaskan apa yang dilihat oleh mata kasar lalu membuat nilaian secara melulu . Tentu sahaja perbincangan atau dialog mampu menenangkan keadaan sekaligus menceritakan betul duduknya yang sebenar.
Tindakan berasaskan dendam politik atau rasa curiga antara satu sama lain pastinya tidak membawa kepada kerukunan hidup bermasyarakat apatah lagi berbeza ideology dan anutan agama. Tiada masaalah yang tidak dapat dirungkai , sementelah pula masaalah itu adalah masaalah agama yang sememangnya agama mengajar penganutnya menjadi insan yang baik .

Nilai kebaikan itulah yang akan menjadi modal untuk membolehkan dialog , muzakarah atau perbincangan dilakukan dengan semangat inginkan kesejahteraan , kedamaian dan ketenteraman antara kaum dan agama dalam Negara ini .

Kerajaan Pakatan Rakyat

PRU 12 telah menyaksikan bagaimana Pakatan Rakyat meraih kemenangan dengan upaya membentuk kerajaan di 5 buah negeri . Tentu sahaja kemenangan itu bermaksud rakyat memberi harapan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat untuk menggantikan kerajaan Barisan Nasional setelah mereka tidak lagi mampu menanggung sengsara berada di bawah system pemerintahan dan pentadbiran Barisan Nasional yang penuh dengan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Harapan mereka agar Kerajaan Pakatan Rakyat, biarpun parti mana yang dominan di negeri – negeri tersebut membawa sinar keadilan, ketelusan, kesaksamaan, ketenteraman dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat jelata. Punah dan musnah harapan rakyat andai Pakatan Rakyat gagal membawa sinar baru kepada mereka malah kesal dan kecewalah mereka kerana memberi mandat dan kuasa kepada Pakatan Rakyat yang hanya mengulang sejarah pincang Kerajaan Barisan Nasional. Dalam erti dan nilai yang lain, mereka tidak mahu menumbangkan kerajaan Buaya dan menegakkan kerajaan Harimau, di mana mereka tetap menjadi mangsa.

Pendekatan Siasah Syari’yyah.

Dewan Pemuda PAS Pusat rasa terpanggil bagi memastikan agar rakyat tidak terus menjadi mangsa kepincangan sebuah pemerintahan setelah mereka sekian lama menderita dan sengsara berada di bawah regim Barisan Nasional yang tidak sudah – sudah mengeksploitasi rakyat yang mereka pimpin.

Bertolak dari keinsafan ini, Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai sayap penting kepada Parti Islam Se Malaysia ( PAS ) yang pastinya pula Islam menjadi asas perjuangan , ingin mencadangkan satu pendekatan yang boleh diguna pakai dalam system pentadbiran dan pemerintahan Negara amnya dan negeri – negeri Pakatan Rakyat khasnya, agar keadilan, ketelusan, kesejahteraan dan keamanan benar – benar dapat ditegakkan dan rakyat terbela.

Itulah cita – cita murni Dewan Pemuda PAS Pusat dan saya percaya semua pihak bersetuju untuk mewujudkan keadilan, ketelusan, kesaksamaan, kesejahteraan dan keamanan dalam Negara ini walau apa pun anutan agama dan ideology. Justeru itu, inilah yang mahu dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Pusat melalui cadangan Pendekatan Siasah Syari’yyah dalam pentadbiran dan pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dikemukakan oleh al Fadhil Ustaz Azman Syafawi Abd Rani selaku Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan baru – baru ini .

Saya tidak Nampak ianya perlu dicurigakan apalagi menolak dan mentohmahnya dengan pelbagai tanggapan dan sinis yang tidak wajar terhadap cadangan tersebut. Selain daripada ianya masih diperingkat cadangan, Pendekatan Siasah Syari’yyah perlu diberi peluang untuk dibentang dan dikemukakan dahulu sebelum pihak – pihak tertentu mengkritik dan menghentam sehingga lajaknya sampai mempertikaikan kesucian agama Islam dan peribadi ulama’ – ulama’ Islam yang beramal dengannya.

Atas sifatnya sebagai satu cadangan, selayaknya ia dialu – alukan untuk disemak dan dinilai bahkan dibincang dan dibahas apakah ia boleh diterima atau tidak. Mana – mana negeri yang tidak mahu menerimanya, selain daripada mereka berhak menolak dengan baik tanpa perlu memperlekeh apalagi mempertikai Islam itu sendiri, mereka juga diberi peluang untuk membuktikan dimana kesalahan Pendekatan Siasah Syari’yyah sehingga ia wajar ditolak ?

Islam sendiri tidak pernah memaksa mana – mana pihak non muslim untuk menerima dan menganut Islam sebaliknya sering mengajak agar semua pihak berfikir dengan wajar dan rasional dalam menilai kebenaran. Islam juga mengajar agar kita menerima suatu yang bermanafaat dan menolak suatu yang mengundang mudharat .

Siasah Syari’yyah mempunyai prinsip umum dalam perlaksanaanya, dimana menurut perkiraan Dewan Pemuda PAS Pusat ia wajar dilaksana atau diterapkan dalam pentadbiran dan pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat. Prinsip – prinsip umum yang saya maksudkan itu seperti :

As Sadduz Zaraai’ السد الذرائع Ar Raf’ul Haraj الرفع الحرج Tahqiqul A’daalah تحقيق العدالة Ad Dar ul Mafaasid afdhal min Jalbil Masoolih الدرء المفاسد أفضل من جلب المصالح

As Sadduz Zaraai’ السد الذرائع
Satu prinsip yang membentuk tindakan, peraturan atau undang – undang pencegahan agar tidak berlaku malah tidak mendorong tercetusnya maksiat dan mungkar atau penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Ianya seperti menghalang apa jua unsur yang menyuburkan mungkar tersebut. Prinsip ini menepati kaedah mencegah tentu sahaja lebih baik daripada merawat.

Ar Raf’ul Haraj الرفع الحرج
Mengangkat, merungkai atau menyelesaikan apa jua yang menjadi batu penghalang agar undang – undang, peraturan dan apa jua keputusan yang membawa kebaikan kepada masyarakat umum dapat dilaksanakan dengan baik .

Tahqiqul A’daalah تحقيق العدالة
Memastikan keadilan tertegak dan ianya boleh dialksanakan melalui pembentukan satu jawatankuasa khas atau suruhanjaya bebas yang mengawal tindakan kerajaan agar tidak menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa. Badan – badan seperti Hisbah dan lainnya turut membawa maksud yang sama demi mengawal Kerajaan Yang dibentuk agar tidak terjebak dalam pengkhianatan hak dan amanah rakyat .

Ad Dar ul Mafaasid afdhal min Jalbil Masoolih الدرء المفاسد أفضل من جلب المصالح
Menolak kerosakan atau kemusnahan terlebih afdhal daripada mengundang kebaikan apabila situasi ini berlaku dalam satu masa yang sama. Justeru menolak kerosakan atau kejahatan itu sendiri adalah satu kebaikan buat ummah. Sebagai contoh, menolak aktiviti – aktiviti tertentu yang menghela ke arah mungkar sekalipun dilihat boleh membawa pulangan ekonomi yang lumayan kepada masyarakat.

Atau juga boleh difahami dengan tumpuan dan peruntukan yang dilabur untuk membenteras dan menghapuskan segala kerosakan , kemungkaran atau kejahatan itu terlebih baik dan wajar walaupun peruntukan dan pelaburan untuk aktiviti kebaikan yang lain menjadi kecil . Lantaran tindakan menghalang atau menghapuskan mungkar dan kerosakan merupakan satu kebaikan yang besar buat rakyat seluruhnya.

Jika ini prinsip dan kaedah yang dicadangkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat melalui Pendekatan Siasah Syari’yyah, sila beritahu kepada saya, dimanakah salah dan silapnya sehingga ada pihak – pihak tertentu berasa curiga dan bimbang. Lebih malang kalau ada dikalangan pemimpin muslim sendiri yang tidak mahu perkara ini dilontarkan kerana bimbang ianya merugikan politik Pakatan atau bimbang kalau – kalau ia tidak disenangi oleh non muslim .

Persoalannya sampai bila mereka mahu bersikap tidak jujur dalam perjuangan dan politiknya, curiga dikalangan rakan – rakan non muslim terhadap Islam agama suci ini. Menyembunyikan Islam yang diperjuang kerana ingin membeli hati non muslim, inilah satu sikap berpura – pura yang sering mengundang kekeliruan dan rasa curiga.

Kenapa tidak dijelaskan kepada mereka hasrat perjuangan dan risalahnya kepada non muslim melalui pendekatan Islam yang benar sebagaimana Nabi saw. tidak pernah menyembunyikan Islam untuk menawan hati non muslim. Sebaliknya Nabi saw berjaya menawan hati non muslim dengan memberikan penjelasan yang tepat mengenai Islam.

Islam bukan agama ciptaan manusia bahkan bukan juga ciptaan Muhammad saw. Ia adalah wahyu Ilahi, tuhan yang mencipta manusia. Berasaskan reality ini pemimpin jamaah Islam sendiri mesti yakin dan optimis terhadap Islam yang diperjuangkan oleh mereka. Sebagaimana Islam yang di dokong itulah Islam yang mesti dikemukakan kepada non muslim secara jujur dan berani. Tidak ada Islam berlainan pakej untuk dikemukakan kepada non muslim. Saya percaya non muslim akan cepat memahami dan menyedari malah menerima bahawa Islam adalah agama yang benar sekali pun enggan untuk menganut agama Islam, sementara Islam sememangnya tidak memaksa sesiapa pun untuk menganut agamanya.

Seminar Pendekatan Siasah Syari’yyah

Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan seminar khas untuk membincangkan Pendekatan Siasah Syari’yyah di negeri Pakatan Rakyat yang melibatkan panel dan peserta dari kalangan ulama’ , tokoh – tokoh sarjana Islam , professional , aktivis social dan penganalisis politik sebelum satu dokumen cadangan Pendekatan Siasah Syari’yyah di kemukakan .

Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

19 Jun 2008

Baca Seterusnya ...