Kuliah Haraki Ustaz Sidek Nor

Ustaz Sidek Nor telah menyampaikan kuliahnya dalam mengisi slot Kuliah Haraki di Markas UPU Pas Saujana Utama pada 5 Ogos 2008. Kira-kira 60 orang telah hadir mengikuti kuliah yang bermula jam 10.00 malam. Dalam ceramahnya, ustaz menyeru agar kita terus mengisi jiwa kita dengan kekuatan rohani agar seruan untuk berjuang dan berjihad dapat disambut tanpa banyak masalah. Walaupun pada masa ini, dengan anugerah kemenangan Pakatan Rakyat yang diperolehi, kita tidak sepatutnya meninggalkan amalan kerohanian yang menjadi tunjang kekuatan diri. Ini termasuklah amalan seperti qiamullail, berzikir, membaca al-Quran, solat sunat dan bersedekah.

Dalam pada itu menurut Ustaz, setiap individu hendaklah bersama-sama memperkuatkan Islam di tempat masing-masing walau dengan apa cara sekalipun. Apa yang penting ialah terus istiqamah dan yakin dengan kerja-kerja Islam.

Ustaz Sidek Nor merupakan Mudir Maahad Tahfiz Qiam, Batu Hampar, Beruas Perak. Maahad Tahfiz ini yang ditubuhkan beliau lima tahun dulu, kini menawarkan dua sistem pengajian iaitu tahfiz dan pondok. Sehingga kini telah ada pelajar dari Maahad berkenaan yang berjaya menyambung pengajian di Timur Tengah. Beliau pernah ditangkap dan ditahan di bawah ISA.