Isu Kerjasama Pas Dan UMNO

Setelah kita mengeluarkan kenyataan rasmi atas isu fitnah kerjasama kepimpinan PAS dan Umno pada dua minggu yang lalu, mutakhir ini kita menyaksikan media arus perdana dan juga media internet sekali lagi memainkan isu ini sekaligus menimbulkan kecurigaan dan kebimbangan kepada umum khususunya kepada ahli dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat atas isu yang sama.

PAS cukup sedar usaha-usaha ini telah mencetuskan kegelisahan dikalangan kepimpinan Pakatan Rakyat serta kemarahan ahli-ahli dan penyokong Pakatan Rakyat. PAS amat sedar mengapa Umno/BN menggunakan taktik ini dalam keadaan mereka tersepit dengan pelbagai krisis kepimpinan dalaman serta berdepan dengan pelbagai kemarahan rakyat dengan isu kenaikan harga minyak dan inflasi.

PAS dengan ini menegaskan sekali lagi bahawa tidak ada sebarang rundingan kerjasama dengan Umno/BN. Sebarang tuduhan kerjasama atau cadangan itu adalah dinafikan oleh kepimpinan tertinggi PAS yang sedar bahawa kemenangan yang diperolehi dari Pilihanraya Umum baru-baru ini adalah harapan seluruh lapisan rakyat pelbagai kaum dan agama. Untuk PAS bersama dengan Pakatan Rakyat membawa kehidupan rakyat yang sejahtera.

PAS juga menegaskan bahawa kita adalah komited untuk memperkukuh Pakatan Rakyat dan memperkasa lima buah negeri di bawah Pakatan Rakyat. PAS akan bersama-sama dengan kepimpinan Pakatan Rakyat untuk menggerakkan inisiatif politik bagi terus membela kehidupan dan kepentingan rakyat yang kian ditindas dan terbeban oleh polisi-polisi kerajaan Umno/BN. Sehubungan dengan ini PAS bersama Pakatan Rakyat akan menggembling usaha-usaha politik dengan semua pihak untuk membawa perubahan dan peralihan kuasa kepimpinan negara.

Sebarang usaha daripada mana-mana pihak untuk mengemukakan usul undi tidak percaya akan kami rumuskan bersama dalam Pakatan Rakyat bagi menjayakan hasrat dan harapan rakyat. Oleh itu PAS mengalu-alukan sokongan semua ahli-ahli parlimen Malaysia untuk bersama-sama merealisasikan usaha Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan negara serta rakyat daripada terus dihimpit oleh kesempitan hidup akibat dari polisi kepimpinan negara yang tempang dan tidak bertanggungjawab